PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kewajipan mengundi hendaklah diambil secara serius semua pengundi yang layak terutamanya orang Islam.
Tegas beliau, ini kerana, perkara itu bukan sahaja melibatkan soal masa depan kepimpinan negara, bahkan turut berkaitan dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal.
“Saya menegaskan bahawa kewajipan mengundi hendaklah diambil secara serius kerana perkara ini bukan sahaja melibatkan soal masa depan kepimpinan negara, bahkan turut berkaitan dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal,” tulisnya di akaun Facebook miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, beliau turut mengingatkan kepada semua agar sentiasa bergerak kerja secara berpasukan.
Katanya, ini kerana calon yang akan terpilih sebagai Ahli Parlimen nanti tidak akan mampu bekerja secara berseorangan, sebaliknya memerlukan sebuah pasukan yang saling mendukung untuk mentadbir dengan pelbagai kepakaran.
“Mudah-mudahan, setiap amalan kita dinilai sebagai ibadat di sisi Allah SWT dan menjadi asbab kepada kemenangan Islam. Siiru ‘ala barakatillah,” katanya.
Pada hantaran itu, Abdul Hadi menyatakan beliau turut berkesempatan bertemu mata bersama rakyat Kelantan di Parlimen Ketereh, bersama calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Ketereh, Mejar Jen (B) Datuk Khlir Mohd Nor.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan Abdul Hadi bertanding mempertahankan kerusi Marang.
Leave a Reply