“PEMBANGUNAN di Tanjung Piai sepatutnya lebih pesat dari Langkawi. Ia destinasi pelancongan yang menarik dan dikunjungi ramai pelancong kerana kedudukannya di penghujung benua Asia,” kata calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Najwah Halimah Ab. Alim, 44.
Susulan itu, beliau bertekad melakukan tiga perubahan demi kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Parlimen Tanjung Piai jika diberi mandat oleh rakyat di kawasan itu pada PRU-15 ini.
Katanya, Tanjung Piai dikenali sektor pelancongan yang popular dan sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara, namun kemudahan di situ masih kurang.
“Kawasan ini sepatutnya dibangunkan dengan sewajarnya, malah lebih pesat dari Langkawi.
“Selain lokasinya di penghujung benua Asia, jambatan baharu sejauh 7.5 kilometer menghubungkan dari Sungai Pulai ke pekan Gelang Patah dapat menjimatkan masa kepada semua pengguna ke Johor Bahru.
“Jadi saya bertekad, antaranya mahu membangunkan kawasan ini dengan menaik taraf kemudahan awam seperti diimpikan masyarakat Tanjung Piai selama ini, selain memastikan sifar kemiskinan dan meningkatkan pekerjaan serta perniagaan di sini,” katanya pada sidang media di Eco Rambah Homestay, lapor Berita Bersatu.
Najwah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan adalah anak kelahiran Kempas, Johor Bahru dan pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk Timbalan Pengerusi Tekun Nasional (TEKUN).
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan, kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi di Parlimen Tanjung Piai amat membimbangkan.
Katanya, tiada kemajuan dalam pembangunan khususnya di sektor pendidikan, pelancongan dan perumahan bagi B40 yang merangkumi golongan petani, nelayan serta buruh kasar.
Lebih malang, katanya, hanya ada dua klinik kesihatan di Tanjung Piai untuk menampung kepadatan lebih 100,000 penduduk.
“Jika diberi mandat, PN dengan slogan Bersih dan STabil (BEST) yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa bertekad memastikan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat di Tanjung Piai.
“Justeru, saya merayu masyarakat Tanjung Piai keluar mengundi beramai-ramai demi menentukan masa depan anda, ” katanya kepada 70,630 pengundi di kawasan itu.
Pada PRU-15, Najwah ditentang Barisan Nasional (BN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Sementara itu, penduduk Parlimen Tanjung Piai, Nazlin Manaf, 46, berkata mereka mahukan wakil rakyat yang bertanggungjawab membela nasib golongan kurang berkemampuan.
“Najwah memahami keperluan rakyat ketika pembabitannya sebagai Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin Johor.
“Selain itu, pembabitannya sebagai Timbalan Pengerusi TEKUN juga membantu golongan peniaga termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), ” katanya yang berniaga kedai makan di Kampung Sungai Durian, Kukup Pontian.
Leave a Reply