PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penanda aras yang ditetapkan gabungan politik itu dalam soal integriti lebih tinggi berbanding pesaingnya.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mungkin mempunyai standard lebih rendah.
“Ini sebabnya mereka yang menghadapi tuduhan rasuah boleh bertanding dalam pilihan raya umum,” katanya lapor Free Malaysia Today yang dilihat merujuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menghadapi tuduhan jenayah.
Muhyiddin yang membuat kenyataan itu semasa membentangkan manifesto PN menambah:”Tetapi tak mengapa, itu masalah mereka, bukan kita”.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu yakin pengundi tahu menilai siapa lebih komited dalam memastikan negara bebas rasuah dan “kleptokrat”, istilah yang digunakan PN dan PH terhadap pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Najib Razak.
Muhyiddin berkata, PN mengambil serius mengenai integriti kerana calon gabungan itu bukan saja menandatangani ikrar anti-rasuah, tetapi turut menjalani semakan menyeluruh.
Katanya, gabungan itu akan melarang mana-mana calon berpotensi yang memiliki rekod jenayah, sedang disiasat agensi anti-rasuah atau menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah daripada bertanding.
Beliau berkata, kerajaan PN akan meneruskan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional, inisiatif lima tahun yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 sebagai dasar komprehensif untuk membasmi rasuah.
“Kami juga akan menubuhkan mahkamah anti-rasuah dan meminda undang-undang berhubung pembiayaan politik untuk mengekang ancaman itu.”
Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta balasan berupa 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut serta menerima RM3.3 juta rasuah.
Zahid pula berdepan 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan berjuta ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.
Leave a Reply