CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan dirinya memiliki sedikit kelebihan berbanding calon Barisan Nasional (BN) dengan kedudukannya sebagai bekas timbalan menteri.
Beliau mengakui bukan mudah untuknya di Machang kerana penyandang kerusi berkenaan yang juga Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, telah berkhidmat dengan baik kepada masyarakat Machang.
“Jika diberi peluang saya mampu memberi khidmat yang lebih baik kepada masyarakat Machang.
“Memandangkan saya berdepan seorang gergasi Ahmad Jazlan merupakan pengerusi BN Kelantan, sudah pun selama dua penggal ahli Parlimen di sana, jadi, saya adalah ‘underdog’.
“Sebagai ‘underdog’ calon anak muda saya masih lagi perlu bekerja lebih kuat lagi untuk membuktikan kepada pengundi bahawa saya boleh buat lebih baik berbanding Ahmad Jazlan.
“Beliau (Ahmad Jazlan) mantan timbalan menteri luar bandar, saya mantan timbalan belia dan sukan, timbalan menteri perpaduan, daripada segi pengalaman saya yakin saya boleh tawarkan lebih baik berbanding Ahmad Jazlan,” katanya dalam sidang media hari di Kota Bharu, hari ini.
Parlimen Machang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru masing-masing calon dari BN, PN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Ahmad Jazlan menang dengan majoriti 2,824 undi menewasakan calon Pas dan PH.
Ahmad Jazlan memperoleh undian sebanyak 26,076 undi manakala Zulkifli Mamat (23,252 undi) dan Sazmi Miah (5,695 undi).
Menjelaskan lanjut, Ketua pemuda Bersatu (Armada) itu berkata, beliau mempunyai kelebihan berbanding Ahmad Jazlan untuk menarik sokongan pengundi.
“Sebagai calon muda, saya yakin saya mempunyai kelebihan sedikit berbanding Ahmad Jazlan kerana faktor umur, pengalaman dan faktor saya sebagai bekas timbalan menteri belia dan sukan.
“Pendekatan yang saya ingin lakukan adalah menawan hati anak muda,” katanya lagi.
Leave a Reply