Oleh RIZQI ZABIDI
SOKONGAN padu ditunjukkan penyokong pada Majlis Penamaan Calon bagi Parlimen Jerlun pagi semalam, mengundang sebak buat calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Abd. Ghani Ahmad.
Dengan kehadiran teramai mengatasi penyokong-penyokong parti lain termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diwakili Presiden, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Abd. Ghani tampak sudah memiliki kemenangan moral untuk meneruskan kempen menjelang hari pengundian, 19 November depan.
Menurut Abd. Ghani, antara faktor yang membuatkannya menitiskan air mata adalah sokongan padu ditampilkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jerlun untuk beliau merampas kerusi tersebut dari Mukhriz.
“Kami yakin dengan kerjasama dan komitmen semua kepimpinan serta jentera untuk menang di sini. Di sini kami memiliki kesepakatan dan semangat setia kawan bagi menyusun jentera untuk menghadapi Pilihran Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Insya Allah kemenangan akan berpihak kepada PN. Suasana semasa juga jelas meningkat menampakkan sokongan kepada PN,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penamaan Calon di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, semalam.
Berbanding perarakan calon lain, kedatangan Abd. Ghani disertakan dengan gema selawat oleh lebih 300 penyokong yang mengiringnya.
Parlimen Jerlun bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan dua lagi pesaing adalah bekas Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz dari Barisan Nasional (BN) serta calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamed Fadzil Mohd. Ali.
Mengulas lanjut Abd. Ghani berkata, rakyat diyakini mampu membuat penilaian terhadap langkah-langkah diambil Tan Sri Muhyiddin Yassin di sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Malah katanya, Presiden Bersatu itu juga menampilkan sikap berjiwa besar apabila dengan rela hati mengundur diri daripada menjadi Perdana Menteri bagi mengelak kacau-bilau apabila UMNO membuat ugutan menarik sokongan.
“Di situ kita lihat ketelusan seorang pemimpin dan Pas kemudiannya membuat keputusan terbaik dengan meneruskan kesinambungan bersama Bersatu. Kami yakin mencapai kemenangan di sini dan insya Allah kita tunggu perkembangan pada hari pengundian nanti,” katanya.
Leave a Reply