PERIKATAN Nasional Maran mahu menyekat dominasi Barisan Nasional (BN) di Maran apabila mensasarkan kemenangan 4-0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.
Kemenangan itu bukan sahaja di kerusi Parlimen malah di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Sentul, Luit dan Chenor.
Saingan bagi menawan Maran bermula semalam apabila kesemua empat calon yang mewakili gabungan itu diterima pencalonan masing-masing bagi menambat hati kira-kira 53,000 pengundi di situ.
Calon PN bagi DUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, untuk DUN, PN Maran merupakan penyandang bagi kerusi Luit dan Chenor yang dimenangi Pas pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN Kawasan Maran berkata, beliau yakin dua kerusi DUN itu dapat dipertahankan PN pada PRU-15 ini.
“Kini misi kita untuk merampas kerusi DUN Kuala Sentul pula. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lalu, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin tiga penggal menang dan beliau tidak lagi fokus di Kuala Sentul pada penggal ketiga.
“Dia (Shahaniza) lebih fokus kepada Maran sehingga lupa kepada DUN Kuala Sentul. Kita dengan gerak kerja yang telah dilakukan bersama Pas sebagai rakan gabungan dalam PN, insya-Allah kita mampu merampas DUN Kuala Sentul,” katanya di sini.
Pada PRU-14 lalu, Shahaniza mempertahankan DUN Kuala Sentul untuk penggal ketiga apabila mendapat 5,541 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Fazil Azmi Nadzri dan calon PKR, Bostamin Bakar.
Jasri yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Maran berkata, dengan kesepakatan gabungan parti politik dalam PN, beliau yakin dominasi UMNO di Maran dapat disekat pada PRU-15 ini.
“Insya-Allah Parlimen Maran akan menjadi milik PN apabila penyandangnya, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib bertanding atas tiket PN selepas tidak dicalonkan semula oleh BN pada PRU kali ini,” katanya.
Leave a Reply