PERIKATAN Nasional (PN) akan mengambil tindakan segera menyelesaikan isu-isu yang menjejaskan pendapatan rakyat dan pemulihan ekonomi negara seperti harga barang dan kekurangan bekalan makanan.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut menjadi keutamaan PN ketika menyediakan tawaran janji atau manifesto kepada rakyat, tetapi dipastikan akan pertama dilakukan jika PN memerintah negara.
“Jika diizinkan Allah, Mesyuarat Kabinet pertama Kerajaan Perikatan Nasional akan membincangkan cara-cara untuk menangani masalah kos sara hidup rakyat yang kian meningkat disebabkan oleh masalah inflasi dan kenaikan harga barang,” katanya berucap melancarkan manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam malam ini.
Dengan tema “Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang” atau PN BEST, Perikatan Nasional menampilkan tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran.
Tawaran ini digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.
Muhyiddin berkata, untuk mengatasi isu kenaikan harga barang, kerajaan mesti melihat isu gangguan bekalan dan kos import dengan lebih serius, terutama sekali dalam keadaan nilai ringgit yang jatuh menjunam berbanding matawang utama dunia yang lain, terumanya dollar Amerika Syarikat.
Katanya, isu kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan produktiviti dan mengganggu rantaian bekalan juga mesti diselesaikan segera.
“Baru-baru ini ada kumpulan kontraktor kecil Bumiputera yang datang menemui saya mengadu masalah kekurangan tenaga kerja. Mereka kata mereka tak boleh ambil kontrak baharu kerana tiada pekerja. Kalau ada pun kosnya mahal dan mereka tak mampu bayar.
“Akhirnya mereka kehilangan kerja-kerja kontrak yang sepatutnya mereka boleh buat dan ini menjejaskan pendapatan mereka. Jika kita berjaya membentuk kerajaan pada 19 November nanti, kita akan ambil tindakan segera untuk selesaikan isu-isu yang menjejaskan pendapatan rakyat dan pemulihan ekonomi negara,” katanya lapor portal Satuberita.
Leave a Reply