‘Mood terhadap PN naik, terus kerja keras capai kemenangan’-Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin yakin Perikatan Nasional (PN) dapat menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas rakyat kini mulai sedar bahawa gabungan politik dipimpinnya dilihat ikhlas dalam melindungi dan menjaga kebajikan mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta calon PN dan jentera pilihan raya terus bekerja keras untuk memastikan kemenangan berganda kerana rakyat memerlukan bantuan dan perlindungan kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.

“Tekad untuk bekerja demi manfaat rakyat ini juga yang saya pegang ketika berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap rakyat terselamat ketika wabak Covid-19 melanda.

“Kita lakukan apa sahaja yang boleh pada ketika itu untuk melindungi nyawa rakyat dan memastikan setiap orang mempunyai makanan di atas meja.

“Perjuangan membantu rakyat ini masih belum selesai. Ramai yang masih memerlukan bantuan kita di luar sana. Insya-Allah, perjuangan murni ini akan kita sambung setelah Perikatan Nasional beroleh kemenangan dan membentuk kerajaan,” katanya sempena kempen rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bermula hari ini.

Bekan Perdana Menteri itu mahu semua jentera PN bekerja keras untuk memastikan kemenangan gabungan tersebut.

“Saya dapat rasakan ‘mood’ rakyat pada masa ini amat positif kepada kita, insya-Allah. Berkempenlah dengan cara yang berhemah, patuhi undang-undang pilihan raya dan elakkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketentetaman awam,” katanya, lapor AgendaDaily.

Pengerusi PN itu memetik hadis riwayat Ibnu Hibban iaitu Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.

“Pesanan Rasulullah SAW seperti yang terkandung di dalam hadis di atas saya tujukan kepada semua calon Perikatan Nasional sempena kempen rasmi yang bermula hari ini.

“Sebagai calon pilihan raya, anda sedang memikul amanah yang berat. Ini kerana apabila anda terpilih sebagai wakil rakyat, anda akan mengabdikan diri kepada rakyat dan negara,” ujar penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *