CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa dihalang menyertai program bersama kariah di Surau Al Imran, Taman Indah, Masjid Tanah, hari ini.
Mas Ermieyati berkata, kehadirannya di surau itu bukan bersifat politik, namun untuk memeriahkan aktiviti gotong-royong tersebut.
“Ini bukan program saya pun, saya cuma nak bersama. Bila kata tak boleh, saya dah sampai jadi saya pandang dari jauh,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Namun katanya, biarpun berdepan cabaran itu namun tidak melemahkan semangatnya untuk terus bertemu pengundi tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
“Insiden ini disifatkan sebagai cabaran dalam politik terutama pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” ujar Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) itu.
Beliau turut mendedahkan kejadian berkeaan menerusi sebuah hantaran dalam akaun Facebook rasminya.
“Saya dah sampai dah. Jadual sepatutnya saya bergotong royong dengan jemaah di sini pagi ni, telah dimaklumkan yang mereka tak dapat terima kehadiran saya atas sebab-sebab tertentu.
“Hmm… Tak apalah, saya faham. Saya hanya pandang dari jauh,” tulisnya.
Tambah beliau, surau itu mengingatkannya ketika bersama-sama rakan-rakan Gerakan Belia 4B Kawasan Masjid Tanah membuat program di situ.
Malah ujar beliau, terdapat permintaan dari jemaah untuk menurap jalan menuju ke surau bagi kemudahan jemaah yang telah pun diluluskan pada waktu itu.
“Apapun saya doakan semoga urusan mereka semua dipermudahkan,” tulisnya lagi.
PR-U15 menyaksikan Mas Ermieyati berdepan saingan empat penjuru termasuk calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid, calon Pakatan Harapan (PH), Mutalib Uthman dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar.
Mas Ermieyati yang juga penyandang Parlimen Masjid Tanah memenangi kerusi itu atas tiket BN pada PRU-14 sebelum menyertai Bersatu pada 13 Disember 2018.
Leave a Reply