PERIKATAN Nasional (PN) akan mempertimbangkan pengeluaran KWSP bersasar jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, walaupun tidak diumumkan dalam pengumuman Tawaran PN sebentar tadi, PN sedia mempertimbangkan pengeluaran bersasar itu.
“Tak ada dalam manifesto, tetapi dulu kita buat pun tak ada dalam manifesto, insya-Allah antara perkara yang kita akan lihat balik semula ialah KWSP bersasar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas melancarkan Tawaran PN bagi PRU-15 di Shah Alam malam ini.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, semasa menjadi Perdana Menteri, beliau sudah membenarkan beberapa kali pengeluaran KWSP termasuk i-Sinar dan i-Lestari.
“Untuk pelaksanaan ini (pengeluaran KWSP) secara bersasar, kita perlu melihat jumlah simpanan (pencarum) terlebih dahulu.
“Ini kerana, pengeluaran tidak boleh dibuat jika sudah tiada simpanan (dalam KWSP),” tambahnya.
Sebelum itu, Muhyiddin membentangkan tawaran PN yang mengandungi 234 tawaran yang merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan pada pilihan raya umum kali ini.
Antara tunjang yang menjadi tumpuan adalah ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus.
Leave a Reply