PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengajaknya untuk bergabung bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, ajakan tersebut disuarakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dalam satu pertemua sebelum PRU-15 diumumkan.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan beliau menolak tawaran itu kerana tidak bersetuju dengan pendekatan kerana terdapat percanggahan antara kedua-dua parti.
“Pertemuan itu berlangsung sebelum pilihan raya atas dasar perjumpaan veteran politik. Dr Mahathir mengajak Pas bergabung untuk menjatuhkan BN kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan BN, selain berbeza pendapat.
“Kita (Pas) tidak bersetuju untuk bergabung dengan Tun kerana ia membabitkan penubuhan kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) yang di dalamnya ada DAP. DAP masih mendominasi PH dan mempunyai jumlah besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Ramah Mesra Tuan Guru Presiden PAS Jupo Ore Tterey (Jumpa Orang Ketereh) di Medan Ilmu Pasar Peringat, hari ini. Hadir sama, calon PAS Parlimen Machang, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang akan mempertahankan Parlimen Marang pada PRU15 ini berkata, Pas terpaksa menolak cadangan itu dan tidak menerima PH kerana isu janji.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta berhubung keputusan Datuk Che Abdullah Mat Nawi menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tumpat pada PRU-15, Abdul Hadi berkata, keputusan menjadi calon bukannya diputuskan individu.
“Bukan individu menentukan siapa calon untuk bertanding, sebaliknya ia diputuskan parti,” katanya, lapor Berita Harian.
Che Abdullah bakal bertanding atas tiket BN dan ditentang Datuk Mumtaz Md Nawi (PAS); Che Mohd Asemari Che Ali dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA); Khairul Azuan Kamarrudin (Parti Warisan) dan Wan Mohd Johari Wan Omar (Pakatan Harapan).
Leave a Reply