CALON PN Parlimen Larut, Datuk seri Hamzah Zainudin berkata sorakan ‘katak’ dilemparkan kepadanya langsung tidak memberi makna kerana pengundi tempatan lebih mengetahui apa yang telah dilakukannya di kawasan itu.
“Sorakan itu tidak memberi makna kerana yang memberi makna adalah pengundi, mereka tahu jasa apa yang telah saya buat,” katanya kepada media di pusat penamaan calon Parlimen Larut di Pejabat Daerah dan Tanah Selama.
Hamzah, penyandang tiga penggal Parlimen Larut, berkata terdapat calon dan wakil rakyat parti lawan datang memeluknya dan mengucapkan terima kasih terhadap jasanya di kawasan itu.
“Bila saya bertemu dengan calon, wakil calon sebelah sana mereka peluk saya ada yang bercakap perkara yang sudah saya lakukan untuk mereka.
“Mereka tahu jasa apa yang telah saya buat, kalau mereka kata saya pengkhianat mereka tak sedar apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat bukan untuk diri saya,” katanya, lapor FMT.
Pada PRU-14 lalu, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas mengalahkan calon PAS, Abu Husin Mohamad dan calon PKR, Khairil Anuar dengan majoriti sebanyak 4,486 undi.
Bagaimanapun, menteri dalam negeri itu keluar Umno dan menyertai Bersatu, pada 2019.
Leave a Reply