Pagoh saksi pertandingan tiga penjuru

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan saingan tiga penjuru selepas dua lagi calon mengesahkan pencalonan mereka bagi merebut kerusi Parlimen P143 Pagoh.

Bekas Perdana Menteri yang juga penyandang kerusi Parlimen berkenaan, ditentang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon dari Pakatan Harapan (PH) Iskandar Shah.

Pada proses penamaan calon yang berlangsung Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar, Muhyiddin yang mengenakan busana baju Melayu berwarna biru gelap merupakan calon terawal yang hadir sekitar 8.55 pagi dengan iringan padu daripada penyokong beliau.

Kemudian disusuli Iskandar Shah ke pusat penamaan calon tersebut sekitar 9.01 pagi manakala Razali tiba pada pukul 9.06 minit.

Berdasarkan undian kedudukan nombor calon pada kertas undi Razali (BN) berada pada nombor satu, diikuti Muhyiddin (PN) dan Iskandar (PH).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Muhammad Ya’kub mengesahkan semua calon layak bertanding selepas setengah jam tempoh pencalonan ditutup.

Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU-14) Muhyiddin Yassin memenangi kerusi Parlimen Pagoh dengan undian sebanyak 23,558 undi menewaskan dua lagi calon iaitu Ismail Mohamed (BN) dan Ahmad Nawfal Mahfodz (Pas).

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal ialah pada 15 November ini manakala hari pengundian pada 19 November.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *