CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, mengajak pengundi Perlis menolak kehadiran calon luar yang dihantar bertanding di negeri itu.
Penyandang kerusi Parlimen Arau selama empat penggal itu bermula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986, 1990, 2013 dan 2018, berpendapat pengundi Arau di kawasan yang ditandinginya, wajar menerima wakil rakyat dari kawasan itu.
“Saya lihat bukan sahaja Arau tetapi juga Padang Besar. Calon ditampilkan (Barisan Nasional) adalah dari luar Perlis dan persoalannya apakah percaturan ini berkesan kepada mereka.
“Di Arau ini, ramai calon dan pemimpin tempatan berwibawa, maka eloklah dipilih calon orang tempatan daripada calon luar yang kita tahu hanya datang dan pergi dan muncul bila nak undi.
“Malah, calon luar ini kalau mereka hebat, maka mereka bertanding di tempat asal sendiri berbanding di sini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, di sini hari ini.
Shahidan berkata, berdasarkan kerja keras selama ini, beliau yakin PN mampu menang di Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis pada PRU15 ini.
“Apa yang penting, saya sekarang sudah berada bersama parti baru yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air kerana di bawah PN ini, kita gerakkan perpaduan ummah di mana orang UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh duduk bawah satu bumbung.
“Malah, saya harap orang UMNO, Pas dan Bersatu boleh sokong saya untuk jadikan Arau sebagai permulaan kepada perpaduan ummah ini berjaya dilaksanakan,” katanya, lapor Berita Harian.
Dalam PRU kali ini, Shahidan yang akan mempertahankan kerusi itu tetapi di bawah lambang PN, akan ditentang bekas anak didiknya yang dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozabil Abd Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH) Fathin Amelina Fazlie.
Pada PRU14 lalu, Shahidan yang bertanding di bawah BN, memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,856 undi.
Leave a Reply