PRESIDEN Pas Abdul Hadi Awang berharap gelombang yang dibawa bekas penyandang kerusi Parlimen Arau Shahidan Kassim akan dapat membantu Perikatan Nasional (PN) menawan Perlis pada pilihan raya umum (PRU-15) kali ini.
“Kita (PN) harap gelombang Arau dan gelombang Perlis. Kita mahu tawan Perlis selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya ringkas dalam sidang media di Marang sebaik saja proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Marang tamat lapor Malaysia Kini.
Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pimpinan Pas itu akan turut turun berkempen ke Parlimen Arau.
Shahidan bertanding sebagai calon PN di Arau melawan calon Barisan Nasional (BN), Rozabil Abd Rahman, calon Pejuang Abdul Razak Abdul Khalek dan calon Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie.
Shahidan, 71, menjadi wakil rakyat di parlimen itu selama empat penggal sejak PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 dan ini kali kelima, bekas menteri besar itu akan mempertahankan kerusi berkenaan.
Shahidan antara 10 pemimpin UMNO yang digugurkan daripada mempertahankan kerusi parlimen masing-masing pada PRU kali ini.
Leave a Reply