Gunakan hak mengundi, terutama pengundi kali pertama – Muhyiddin

RAKYAT wajar mengambil serius tanggungjawab mengundi barisan pimpinan yang akan menjadi penentu masa depan negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan calon Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin melihat rakyat keluar mengundi terutamanya pengundi kali pertama.

“Mengundi adalah satu tanggungjawab yang amat penting dalam PRU15 ini walau apa situasi sekalipun kita harap jumlah peratusan yang keluar mengundi tinggi.

“Menunjukkan kita menggunakan hak, terutamanya buat mereka yang pertama kali didaftarkan secara automatik iaitu pengundi umur 18 tahun ke atas,” katanya, selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar, hari ini.

Muhyiddin turut berharap pengundi muda mampu membuat perbandingan bernas dalam menentukan pimpinan yang lebih tulus dan bersih.

“Harapan kita supaya mereka memberikan pertimbanggan bijaksana untuk memilih parti yang mereka anggap boleh dipertanggungjawabkan memikul amanah dan memahami masalah rakyat.

“Kami amat sedar bahawa situasi masih belum pulih sepenuhnya jadi wajarlah pengundi memberikan sokongan dan memilih calon-calon PN yang bertanding di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberitahu PN sedang memperincikan beberapa perkara penting bagi menitikberatkan hal ekonomi, alam sekitar, pendidikan, belia dan wanita sebagai manifesto yang dijangka diumumkan pada esok.

“Kami tidak hanya berjanji, kami akan usahakan dan laksanakan sepenuhnya apa yang kami janjikan dalam manifesto.

“Ini akan dimaklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara,” jelasnya, lapor SatuBerita.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *