CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menggunakan media sosial sebaik mungkin bagi menarik pengundi muda menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 Nov ini.
“Kita akan kempen pastikan pengundi muda menggunakan hak mereka untuk lebih bertanggungjawab dan keluar mengundi…itu penting.
“Namun, pada masa sama, mereka juga kumpulan yang sangat penting dalam menentukan (hala tuju negara), jadi tentunya media sosial amat penting untuk kami dekati golongan muda,” katanya selepas proses penamaan calon Parlimen Tambun di Dewan Seri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh.
Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Mengenai pertembungan nama besar di Parlimen Tambun kali ini, termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Faizal yakin pengundi lebih selesa memilih calon tempatan.
“Calon tempatan lebih dikenali, nama besar juga dikenali, tapi saya yakin rakyat dan pengundi Tambun lebih mendambakan calon (tempatan) yang lebih dikenali kerana mereka nak mengadu permasalahan dan sebagainya.
“Masing-masing ada peluang adil, terpulang kepada kami untuk menjalankan kempen dan kami harap dapat jalankan kempen dengan baik dan penuh berhemah,” katanya, lapor Free Malaysia Today.
Pada PRU14, Faizal memenangi kerusi Tambun dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan calon Pas, Ibrahim Zakaria.
Leave a Reply