TINDAKAN keluar parti oleh sebahagian kepimpinan bahagian dan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin, tidak menggugat perjalanan kempen parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub, menyifatkan isu keluar parti adalah perkara biasa dan pihaknya tidak menghiraukan serangan yang dibuat.
“Kita dalam suasana perang, jadi akan ada banyak strategi oleh pihak lawan. Kami percaya ini juga adalah antaranya, selain kehendak peribadi.
“Kami sebagai ahli Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) terus komited, tidak hirau apa juga serangan dibuat dan ia tidak menggugat perjalanan jentera untuk memenangkan calon PN,” katanya pada sidang media di Kota Fesyen, Melaka petang ini.
Dr Mohd Yadzil yang juga Pengerusi PN neegeri, mendakwa ada beberapa fakta yang diutarakan oleh Ketua Srikandi BERSATU bahagian Jasin, Azalina Abdul Rahman, itu sebagai tidak tepat.
“Kalau ikut apa dicakapkan banyak fakta bercanggah jadi saya tidak yakin apa yang dicakapkan itu menunjukkan apa sebenarnya.
“Ikut perlembagaan pun tiada istilah terkubur, jentera terus bergerak. Pemimpin keluar silih berganti siapa hendak teruskan perjuangan silakan. Siapa tidak mampu ikut arus yang ditetapkan kami tidak halang,” katanya, lapor BH Online.
Terdahulu, media melaporkan Bersatu Bahagian Jasin didakwa lumpuh apabila sebahagian besar kepemimpinan bahagian dan cawangan parti itu mengumumkan keluar parti, berkuat kuasa hari ini.
Langkah itu diketuai oleh Ketua Srikandi Bersatu bahagian terbabit, Azalina Abdul Rahman bersama Timbalan Ketua Bersatu bahagian, Mustaffar Ahmad.
Turut mengumumkan keluar parti, semua ahli Jawatankuasa (AJK) BERSATU bahagian, AJK Srikandi BERSATU bahagian, Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Melaka, Rohani Ahmad serta beberapa kepemimpinan Srikandi BERSATU bahagian Hang Tuah Jaya.
Tindakan itu menyusul selepas Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, mengumumkan keluar parti serta-merta pada 30 Oktober lalu.
Leave a Reply