Amal budaya politik matang, sejahtera semasa berkempen – Hadi

JENTERA Perikatan Nasional (PN) digesa agar sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia perlu dilakukan sepanjang berurusan dengan semua pihak, sama ada kawan mahupun lawan.

“Saya menyeru kepada semua jentera parti agar sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera sepanjang berurusan dengan semua pihak, sama ada kawan mahupun lawan.

“Mudah-mudahan, Allah SWT menurunkan pertolongan-Nya melalui kemenangan kepada Perikatan Nasional untuk semua kerusi yang ditandingi kali ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, untuk kerusi Parlimen Marang, akan ada pertandingan sebanyak empat penjuru.

Mereka membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Zarawi Sulong.

“Alhamdulillah, selesai proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Parlimen Marang pagi tadi. InsyaAllah, di Parlimen Marang, akan ada pertandingan sebanyak empat penjuru,” katanya.

Pada PRU-14, Abdul Hadi memperoleh majoriti 21,954 undi menewaskan Mohamad Nor Endot (BN) yang memperoleh 31,795 undi dan Zarawi yang memperoleh 5,138 undi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *