Ahmad Faizal berdepan Anwar Ibrahim, dua calon lain di Tambun

TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berdepan saingan empat penjuru dalam usaha beliau mempertahankan Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu akan berdepan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu mereka dicabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md. Hanafiah dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Abdul Rahim Tahir.

Pencalonan keempat-empat calon berkenaan diterima dan diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRU-15 Parlimen Tambun, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Pada proses penamaan calon di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Meru di Ipoh hari ini, Anwar merupakan calon pertama memasuki pusat pencalonan pada pukul 8.45 pagi.

Ahmad Faizal hadir di pekarangan pusat penamaan calon pada pukul 8.50 pagi bersama calon DUN Hulu Kinta, Puteri Holijah Muhamad Rali (Bersatu) dan calon DUN Manjoi, Hafez Sabri (Pas).

Ketua Pembangkang itu pula tiba bersama penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi (Amanah) dan penyandang kerusi DUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR).

Aminuddin pula tiba di pekarangan pusat penamaan calon pada pukul 8.55 pagi bersama calon kerusi DUN Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz dan calon DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abd Rahman.

DUN Hulu Kinta menyaksikan seorang calon Bebas yang juga kontraktor, S. Murugiah, 57, bertanding.

Pada PRU-14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

Sementara itu, proses penamaan calon bagi Parlimen Tambun berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *