4 penjuru di Alor Gajah, Redzuan dicabar calon ‘heavyweight’ Shahril Hamdan, Adly Zahari

KERUSI Parlimen Alor Gajah yang disandang Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof akan menyaksikan pertembungan empat penjuru pada PRU-15.

Redzuan yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) dicabar Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan yang mewakili Barisan Nasional (BN), Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Melaka Adly Zahari dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Senarai rasmi calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya Parlimen Alor Gajah Saiful Hazwa Kipli di Dewan Taming Sari (Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah selepas proses penamaan calon tamat pada 10 pagi tadi lapor FMT.

Kira-kira lebih 300 penyokong parti bertanding berkumpul di pekarangan pintu masuk UiTM sejak 7 pagi tadi.

Pada PRU-14, Redzuan menang kerusi Parlimen itu atas tiket Bersatu, yang ketika itu masih bersama PH, selepas menewaskan calon BN Wong Nai Chee dan calon Pas, Mohammad Nazree Mohammad Aris dengan majoriti 6,980 undi.

Bersatu kemudian meninggalkan PH dan membentuk PN bersama Pas Gerakan, Star dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Redzuan akan mewakili PN pada PRU kali ini dalam misi mempertahankan kerusi tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *