Wan Fayhsal mohon maaf catatan Twitter lama kritik Pas

KETUA Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tampil memohon maaf atas satu catatan lama berkaitan kritikannya terhadap Pas yang dimuat naik dalam Twitter.

“Saya ingin meminta maaf kepada semua ahli Pas kerana telah menggunakan kata-kata yang kurang sopan,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal amat kesal dengan perkara tersebut dan akan lebih berhati-hati di masa hadapan.

Tambahnya, beliau akan terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Pas untuk memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat Kelantan dan Malaysia, menurut tuntutan Islam.

“Pas sebagai wadah perjuangan Islam dalam PN telah membuktikan komitmen terhadap pemerintahan prihatin, bersih dan stabil di bawah prinsip amal makruf, nahi munkar,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT).

Terdahulu, Wan Fayhsal mengumumkan beliau secara rasminya menjadi calon bagi PN di kerusi Machang serta menyaran pengundi supaya memilih logo Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Susulan itu, warganet menghentam Wan Fayhsal menerusi satu ciapan Twitter lama mengatakan ‘Bodoh penyokong Pas’ yang pernah dimuatnaikkan, sungguh pun ciapan itu telah dipadamnya sejak Februari 2019.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *