PENYANDANG kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang akan bertanding atas tiker Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nekad akan gempur kawasan itu habis-habisan.
“Oleh kerana saya bertanding di Arau, saya akan gempur Arau habis-habisan,” katanya selepas diumumkan sebagai calon PN di kerusi itu oleh Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Pas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, malam tadi.
“Terima kasih kepada seluruh pimpinan PN termasuk Tuan Guru Abdul Hadi kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding di Parlimen Arau,” katanya lagi dalam Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU-15 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.
Turut hadir Pesuruhjaya Pas negeri, Senator Datuk Husain Awang, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Senator Datuk Razali Idris dan Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) negeri, Wong Kim Su.
Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana wakil parti yang bertanding pada PRU-15 nanti.
“Siapa yang nak datang mencuba silakan, tidak ada masalah, saya kata sekali saya sudah masuk gelanggang, saya nak menang,” katanya, lapor Harahkahdaily, hari ini.
Shahidan memaklumkan faktor memutuskan untuk bersama PN disebabkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, bersikap tidak jujur apabila mengubah namanya daripada bertanding tanpa mengikut keputusan ‘top-5’’.
“Nama saya sudah diserahkan kepada ‘Top-5’, tetapi Ahmad Zahid gagal mengikut keputusan dan penipu apabila mengubah senarai calon yang sudah diputuskan,” katanya ketika berucap ringkas pada majlis itu.
Selain Shahidan, penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang juga digugurkan BN turut diumumkan mewakili PN bertanding mempertahankan kerusi itu.
Pada majlis itu, Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengisytiharkan bakal calon-calon yang akan bertanding di lapan Parlimen negeri tersebut.
Mereka terdiri daripada enam penyandang iaitu Abdul Hadi di Marang, Datuk Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu), Ustaz Wan Hassan Mohd. Ramli (Dungun), Ustaz Che Alias Hamid (Kemaman), Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu) dan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Dua muka baharu ialah Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Alias Razak (Kuala Nerus) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut).
Leave a Reply