KETUA UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif menafikan akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Jempol yang disandangnya, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu ketika dihubungi mengaku tidak merajuk walaupun namanya digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.
“Saya tidak merajukkah? Kalau merajuk, nak lama-lamalah… tetapi saya tidak merajuk,” katanya mengulas dakwaan tersebar bahawa beliau hampir pasti akan bertanding atas tiket PN pada PRU-15.
Mohd Salim menegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali, sebaliknya beliau masih setia dengan parti dan akan tetap berjuang memastikan kemenangan BN di Jempol.
“Dalam politik, apabila tengok orang kecewa… ramai yang menelefon, ramai menawarkan untuk menjadi calon. Namun, saya tetap dengan UMNO serta BN, dan tidak akan bertanding bagi parti lain.
“Dakwaan bahawa saya akan bertanding atas tiket parti lain, tular dengan cepat apabila mereka melihat ada pemimpin UMNO berbuat sedemikian selepas tidak dapat menjadi calon BN,” katanya, lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, Mohd. Salim menjelaskan, ketiadaannya pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN di Wisma Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, semalam, bukan disebabkan berkecil hati tetapi kerana mempunyai program bersama RISDA.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan, malam tadi, mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian itu sebagai calon BN di Parlimen Jempol pada PRU-15.
Leave a Reply