Jamal ada kes bankrap, tak layak jadi calon Sungai Besar: Teresa Kok

CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor Datuk Seri Jamal Md Yunos bukan calon yang sesuai untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata bekas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Dalam surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh, Kok berkata Jamal masih menjalani prosiding kebankrapan susulan saman fitnahnya terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu pada 2017 yang menuduhnya menyalahgunakan RM2 juta dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

“Berkaitan perkara di atas, saya benar-benar percaya Jamal bukanlah individu yang sesuai untuk dinamakan sebagai calon bertanding pada PRU-15 kerana ada kemungkinan beliau akan diisytiharkan bankrap daripada prosiding muflis.

“Justeru, saya membantah pencalonan Jamal sebagai calon untuk bertanding pada PRU-15 dan menggesa sebarang pencalonan seperti itu ditolak.

“Segala kerjasama daripada Tan Sri dalam memastikan dan menyokong ketelusan dan kesinambungan proses PRU-15 amat dihargai,” kata Kok dalam surat itu.

Selasa lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Jamal sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya 19 November ini.

Pada Julai, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar pampasan RM300,000 dan RM50,000 kepada Kok, berikutan keputusan saman fitnah terhadapnya, lapor Agendadaily.

Pada 18 September lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memfailkan notis kebankrapan setelah Jamal gagal membayar ganti rugi sebanyak RM351,479.45 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi susulan kemenangannya dalam saman fitnah ke atas sebelum ini.

Notis muflis itu difailkan peguam SN Nair & Partners terhadap Jamal kerana gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi dalam saman fitnah yang memerintahkan Jamal membayar sejumlah RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM50,000 sebagai kos guaman kepada Teresa.

Sebelum ini, Teresa memfailkan saman fitnah terhadap Jamal pada 6 April 2017, kerana Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor itu menuduhnya menyeleweng RM2 juta YAWAS di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Selain Teresa, Jamal juga berhadapan dengan tuntutan Pengerusi Bersih 2.0, Marina Chin Abdullah kerana menentang dan menyekat propaganda Himpunan Haram Bersih sebelum ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *