Oleh RIZQI ZABIDI
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya mengakui betapa dirinya merasa cukup tenang untuk berdepan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar di Parlimen Pokok Sena dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.
Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah itu, ketenangan tersebut hadir bersandarkan kepada sokongan serta maklum balas diberi rakyat dalam usahanya untuk mengembalikan kerusi tersebut ke tangan Pas, sebagai wakil Perikatan Nasional (PN) di situ.
Katanya, Pas memiliki kekuatan di dua daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pokok Sena yang dikuasai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 iaitu Bukit Pinang dan Bukit Lada, sekali gus menambah keyakinan pihaknya untuk meraih kemenangan.
“Lagi pun dalam PRU-14, seakan ada gelombang menyokong PH pada waktu itu. Namun kali ini kita nampak gelombang itu walaupun tidak terlalu besar, seolah-olah memberi isyarat sokongan kepada PN.
“Saya rasa tenang kerana ada keyakinan melihat sokongan dan maklum balas diberikan rakyat. Tanpa menafikan ketokohan penyandang di situ yang ada pengalaman dan mungkin sudah lama memberi khidmat, tetapi angin perubahan itu sedang kita rasai bertiup kencang dari hari ke hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sidang akhbar pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Kedah di Komples Pas Kedah di Alor Setar, malam tadi.
Tambahnya, keazaman Pas untuk mendapatkan kerusi tersebut buat PN cukup tinggi memandangkan Pokok Sena lebih banyak berada di bawah Pas berbanding parti-parti lain sejak PRU diadakan.
“Kita bercakap atas keyakinan dan data yang ada. Bersandarkan kajian lapangan serta culaan dibuat, kita yakin mampu mencapai kemenangan.
“Dalam PRU kali ini, semua parti berdepan cabaran yang sama iaitu untuk merebut undi anak muda. Namun kita punya keyakinan kerana bersandarkan kajian sikap dan pendirian anak-anak muda ini dilihat amat bencikan rasuah dan prihatin terhadap apa juga yang berlaku kepada negara.
“Mereka sebelum ini pernah berada di bawah pemerintahan BN yang sarat dengan individu terlibat rasuah dan mereka juga ada pengalaman berada selama 22 bulan di bawah pemerintahan PH. Jadi saya rasa mereka boleh menilai mana yang lebih baik,” katanya.
Leave a Reply