PERIKATAN Nasional (PN) Perak masih belum memutuskan sebarang nama bagi calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perkara itu mungkin akan dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti.
“Tidak tidak pernah bincang soal itu, tetapi saya yakin kepimpinan PN akan buat keputusan. Ini kerana, kita ada perancangan dari segipada manifesto dan sebagainya.
“Saya ingat, selepas selesai sahaja urusan penamaan calon, akan ada proses-proses ataupun pengumuman-pengumuman dibuat kepimpinan tertinggi di negeri sama ada tentang menteri besar ataupun manifesto dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman calon PRU15 bagi PN Perak di Pejabat PN Negeri di Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.
Zainol Fadzi terdahulu ditanyakan sama ada PN akan turut menamakan calon Menteri Besar sekiranya menang PRU-15 di Perak sepertimana diumumkan Pakatan Harapan (PH).
Media sebelum itu melaporkan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar Perak sekiranya PH menang di negeri itu pada PRU-15.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dilaporkan berkata, ia adalah ‘perjudian besar’ bagi PH dengan menamakan Zainal sebagai calon Menteri Besarnya, tetapi menegaskan itu adalah keputusan yang tepat.
Zainal yang juga bekas setiausaha kerajaan negeri Perak dijangka bertanding di kerusi DUN Kuala Sepetang.
Leave a Reply