Muhyiddin tidak tolak kemungkinan kerjasama Zahid-Anwar pasca-PRU15

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tolak kemungkinan bakal wujud kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendedahkan, kerjasama tersebut adalah bagi membentuk kerajaan yang baharu.

Jelas Muhyiddin, kerjasama itu boleh membawa musibah terutama kepada masyarakat Melayu kerana Anwar akan membawa sama komponen parti Pakatan Harapan (PH) lain termasuk DAP untuk membentuk kerajaan.

“Bila PRU nanti selesai dan jika UMNO tidak mempunyai jumlah kerusi untuk bentuk kerajaan, kemungkinan Zahid akan jemput Anwar dan bersama parti PH termasuk DAP bagi bentuk kerajaan.

“Adakah orang yang sokong UMNO mahukan ini terjadi? Kalau tidak mahu maka orang UMNO perlu sokong PN bagi elak musibah berlaku,” kata Muhyiddin dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Jentera PN Terenganu di Kuala Berang, malam tadi.

Jelas Muhyiddin, adalah menjadi tanggungjawab jentera PN untuk menyedarkan penyokong UMNO ini dan meyakinkan mereka untuk mengundi PN pada PRU15 nanti.

“Inilah jihad yang perlu kita teruskan untuk sedarkan orang Melayu dan penyokong UMNO.

“Kalau kita tidak ambil langkah dan beri kefahaman yang betul, mereka akan undi BN dan PH, saya takut kalau lepas PRU kita hadapi yang teruk,” katanya, lapor portal Bersatu.

Beliau juga menyatakan PRU kali ini adalah untuk rakyat selamatkan negara supaya tidak terjerumus ke kancah kerosakan yang sukar untuk dibetulkan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *