Muhyiddin sifatkan PRU-15 luar biasa, penting untuk wujudkan kerajaan baharu

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai sangat luar biasa dan antara yang terpenting untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, amanah, bersih dan tidak bobrok.

Sehubungan itu beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyeru setiap orang wajib keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab memilih sebuah kerajaan baharu.

“Saya tegaskan jika kita tidak keluar mengundi, kita seolah-olah memberi hak kepada seorang yang tidak layak untuk memerintah negara.

“Kita tidak boleh membiarkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa dan rakyat mesti memastikan perancangan sulit mereka untuk bergabung membentuk kerajaan selepas PRU tidak berlaku,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang merasmikan Program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu sempena Program Jelajah Prihatin (PN) malam tadi, bersyukur dengan sambutan orang ramai.

Muhyiddin terharu dan bersyukur melihat kehadiran begitu ramai pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu sempena Program Jelajah Prihatin (PN)

“Alhamdulillah malam tadi saya menyempurnakan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu sempena Program Jelajah Prihatin (PN).

“Saya merasa terharu dan bersyukur melihat kehadiran begitu ramai sekali orang pada majlis ini yang sekali gus memberi petanda kebangkitan sokongan rakyat ke atas PN,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu berkata, semasa berucap beliau mengimbau kembali detik-detik pembentukan gagasan PN yang dibina atas kesedaran untuk mewujudkan sebuah negara yang berdaulat, maju, bermaruah dan berjaya.

Mereka yang hadir dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu sempena Program Jelajah Prihatin (PN)

“Hasrat ini tidak akan dapat dicapai jika setiap parti bergerak secara bersendirian dan bukan dalam satu jemaah,” kata bekas Perdana Menteri itu yang sudah 50 tahun berkecimpung dalam arena politik.

Justeru beliau menegaskan perlunya ada kerjasama dalam kalangan parti-parti bagi mewujudkan satu jemaah besar untuk menerajui negara.

“Alhamdulillah gagasan tersebut menjadi kenyataan apabila Pas dan Gerakan serta beberapa parti dari Sabah bersetuju untuk bersama-sama membentuk kerajaan PN,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *