Dalam MPN ramai pakar, bukan ahli politik – Muhyiddin

KEAHLIAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) terdiri daripada ramai pakar serta pemikir-pemikir yang arif dalam pelbagai bidang untuk membantu mempercepatkan pemulihan negara.

Itu penegasan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas mengenai signifikan dan keberkesanan penubuhan majlis tersebut.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, objektif MPN bukan sahaja untuk memulihkan negara tetapi turut merangka strategi untuk meningkatkan tahap ekonomi Malaysia.

Ujarnya, antara contoh inisiatif yang dirangka dan dicadangkan MPN untuk dilaksana kerajaan adalah berhubung usaha untuk memperkasa kembali sektor pelancongan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sektor itu antara yang terjejas teruk selepas pandemik Covid-19 melanda dunia, termasuk Malaysia.

“Sektor pelancongan yang terkesan besar ini antara satu daripada punca negara kehilangan pendapatan.

“Restoran ada tetapi pelanggan kurang. Hotel menawarkan banyak bilik tetapi sukar untuk menerima tempahan.

“Jadi saya pada waktu itu meminta Kementerian Pelancongan untuk membentangkan laporan berhubung isu tersebut kepada MPN.

“Ada langkah-langkah yang saya tidak berapa tertarik kerana dia (Kementerian Pelancongan) kata memerlukan tempoh sehingga lima tahun (untuk pemulihan),” katanya dalam temu bual eksklusif bersama UtusanTV.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, MPN kemudian membuat keputusan untuk mengarahkan kementerian tersebut meneliti semula laporan yang diberikan.

Begitupun, beliau dengan nada kesal berkata, laporan yang dibentangkan kementerian tersebut selepas diberi tempoh beberapa bulan adalah sama.

“Saya tanya kenapa hasil laporannya begitu? Jawapannya adalah sektor pelancongan tidak berkeupayaan kerana banyak negara masih tidak membuka lagi sektor itu.

“Contohnya, China yang mana pada suatu ketika dahulu terdapat empat juta pelancong datang dari negara tersebut, tetapi sekarang seorang pun tidak ada,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, MPN berpandangan bahawa kerajaan perlu untuk memberi bantuan bagi ‘menyuburkan’ kembali sektor pelancongan.

Kata beliau, antara bentuk bantuan yang boleh dilakukan adalah memberi pengecualian cukai serta melakukan promosi ke luar negara secara agresif.

“Bagi RM100 juta seperti mana yang pernah dilakukan ketika dahulu dalam kempen Visit Malaysia year. Fokus kawasan-kawasan tertentu unuk dipromosikan.

“Soal pemulihan negara ini ini jika tidak ada campur tangan Perdana Menteri dan Kabinet, ianya akan menjadi lambat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *