Kembalikan mandat, PN adalah penyelamat negara

RAKYAT perlu mendukung Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana gabungan tersebut merupakan penyelamat negara seperti pernah dipamerkan suatu ketika dahulu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat bagaimana gabungan itu membawa negara keluar dari kemelut luar biasa pandemik COVID-19 sehingga keadaan beransur pulih.

Malah, beliau menegaskan, ekonomi negara yang pernah berdepan kemungkinan untuk lumpuh berjaya diselamatkan atas ketegasan para pimpinan dalam membuat keputusan.

Katanya, semua ini bertitik tolak daripada sikap prihatin yang menjadi dasar perjuangan PN dalam memastikan rakyat tidak berterusan berdepan dengan kepayahan dan kesusahan.

“Ekonomi negara kita hari ini terselamat, tidak runtuh, apa sebabnya, tidak lain tidak bukan ketegasan kerajaan Perikatan Nasional dahulu untuk menyelamatkan ekonomi negara kita.

“Macam mana pula orang kata kini pengkhianat. Kami adalah penyelamat kepada negara ini tetapi tugas kami masih belum selesai, kita nak minta rakyat untuk berikan mandat, tidak lama lima tahun sahaja.

“Saya percaya kita lebih tahu daripada mereka tentang apa masalah negara, kita boleh mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat lebih awal daripada mereka yang mungkin tidak tahu apa yang berlaku pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional PRU-15, malam tadi.

Muhyiddin berkata, negara kini berada dalam krisis dan pilihan raya kali ini sangat penting dalam memilih kerajaan yang betul-betul mampu memimpin negara.

Katanya, PN telah membuktikan bahawa ia berkemampuan berdasarkan rekod prestasi terdahulu terutama ketika memimpin negara pada saat sukar COVID-19 sehingga rakyat boleh mengukirkan senyuman.

Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali menyerahkan negara ini kepada pemerintahan yang tamakkan kuasa, tidak beramanah dan melakukan banyak kemungkaran serta kerosakan.

“Untuk ingatkan rakyat bahawa negara kita berada dalam krisis, sama ada kita sedar atau tidak sedar, sebenarnya kita berada dalam situasi yang tidak lagi baik.

“Maknanya pilihan raya yang akan kita hadapi ini pilihan raya untuk menentukan masa depan negara kita.

“Soalannya siapakah antara parti-parti yang bertanding ini mampu untuk memikul amanah itu, jawapannya tidak lagi tidak bukan berdasarkan pengalaman kita pada masa lepas, tidak lain Perikatan Nasional,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *