DAP ‘perguna’ Melayu seperti pernah dilakukan PAP – Hadi

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan muslihat DAP yang mesti diketahui dan diwaspadai oleh rakyat, sekali gus menyeru para pengundi PRU-15 untuk menolak Pakatan Harapan (PH).

Pendekatan terkini DAP katanya, adalah dengan menggunakan orang Melayu sebagai calon PRU-15 yang dibongkar perkara itu oleh beliau dalam ucapan-ucapan pada siri Jelajah Presiden Pas di Perlis dan Kedah sejak kelmarin.

“Ini nak ingat, Singapura tahun 50-an, Ketua Menteri Singapura, Datuk Hamid Jumat. Saya ingat nama lagi, generasi awal ingat. (Kemudian) Tahun 60-an, Lee Kuan Yew menang pilihan raya. Dia ambil orang Melayu jadi calon.

“Parti PAP – People Action Party, (atau) PETIR (Parti Tindakan Rakyat). Osman Wok, Yusuf Ishak, macam-macam namanya jadi Menteri-menteri Melayu di Singapura. Dia (PAP) letakkan orang Melayu jadi calon (bertanding pilihan raya).

“(Yang) jadi Presiden, Lee Kuan Yew (pun) pakai songkok (dan) berucap Bahasa Melayu. Orang Singapura tertarik, akhirnya PAP menawan Singapura. (Tetapi) Apa jadi pada orang Islam-Melayu Singapura lepas pada itu?” tegas Abdul Hadi, lapor Harakahdaily.

Mengulas lanjut, penyandang kerusi Parlimen Marang itu berkata, pada tahun 1963, Singapura menyertai Malaysia dan PAP menubuhkan cawangan di Semenanjung Tanah Melayu, namun Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menganggap itu satu bahaya lalu mengambil tindakan mengeluarkan Singapura daripada Malaysia.

Menurut beliau, PAP Tanah Melayu setelah itu menukar nama kepada DAP yang bermakna DAP adalah anak kelahiran PAP di mana sekarang ambil orang Melayu menjadi calon dan terdapat parti kerjasama dengan mereka.

“Saya tak tahulah berapa upah dia bagi. Ini keadaan yang sangat merbahaya (di mana mereka) nak tawan Perak, nak tawan Selangor, tawan Negeri Sembilan. Kalau kita berpecah, ini sangat bahaya. Kita mesti bersatu tolak PH.

“Kita minta orang UMNO berehat sekejap. Sokong kami PN (PERIKATAN NASIONAL) ni, biar kita ambil alih dulu. Dalam UMNO itu keruh, orang BN sokong kitalah sekejap. Jangan kelahi masa ni.

“Saya sebut tadi anjing kadang-kadang pandai pada kita, anjing dalam kampung, dia kelahi-kelahi masuk rusa, kijang ke, anjing luar, dia bersatu kejar, habis semua kejar belaka. Lepas itu dia kelahi baliklah. Nak kelahi, kelahilah.

“Ini biar kita bersatu dulu bersama beri kepada gabungan baru Perikatan Nasional yang baru, yang ada semangat, yang jernih dalam masa kita memerintah, tak ada apa-apa kes lagi. Biar UMNO rehatlah sekejap. Mari sama dengan kita. Sokong.

“Biar kita menang pilihan raya, kita buat perubahan, buat perubahan, pinda kawasan-kawasan pilihan raya. Ubah kawasan pilihan raya. Kalau cukup majoriti dua pertiga. Banyak perkara kita boleh buat. Insya-Allah,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas mengajak rakyat membuat perubahan di mana parti itu akan bertanding lebih 60 kerusi Parlimen dan berusaha untuk menang sekurang-kurangnya 40 kerusi terutama yang telah pernah dimenangi.

Begitu juga setelah memerintah Kelantan, Terengganu, Kedah serta berada dalam kerajaan campuran, Pas cuba untuk menguasai negeri Perlis, Pahang dan Perak pula demi menyelamatkan keadaan.

“Ada orang kita (Melayu-Islam) ni bekerjasama dengan DAP, ketua dia umumkan nak laksanakan Malaysia ini satu bangsa Malaysia saja. Mana nak hapus? Tak boleh, tuhan jadikan macam-macam bangsa Melayu, Cina, India, tak boleh hapus kebangsaan ini.

“Dia nak hapus. Tak jadi salah dengan banyak bangsa, yang penting adil untuk semua. Dan dia merancang letak calon-calon Melayu. Banyak yang tak tahu siapa DAP ini. DAP ialah parti PAP di Singapura.

“PAP memerintah Singapura, orang Melayu-Islam dilenyapkan sedikit demi sedikit. Ada orang kita sanggup kerjasama dengan dia, makan gaji dengan dia. Jadi calon dia, nak buat macam mana?

“Jadi kita mesti selamatkan keadaan. Mesti Islam berkuasa. Islam memerintah, Islam mentadbir bersama dengan PERIKATAN NASIONAL,” seru beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Hadi turut mendedahkan tindakan DAP-PH dalam membawa agenda Barat dan Komunis ke negara ini menerusi ICERD, Statut Rom dan pelbagai program mereka mengiktiraf unsur asing luar itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *