PENGUMUMAN calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malam tadi, menyaksikan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said tersenarai sebagai calon Parlimen yang dijangka membawa perubahan pada landskap politik negeri itu.
Beliau dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Kemaman.
Ahmad yang juga Pengerusi BN negeri itu sebelum ini disebut-sebut tidak berhasrat untuk bertanding di peringkat Parlimen kerana masih menaruh harapan untuk kembali dilantik menerajui negeri sekiranya BN menawan kembali Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu pernah menjadi Menteri Besar Terengganu pada 2008 hingga 2014.
“Perkara seperti ini (pemimpin negeri bertanding di Parlimen) tidak mustahil… Apa yang kita nampak, parti-parti sebolehnya mahu meletakkan nama-nama besar (di Parlimen), yang sedia mempunyai pengaruh besar agar dapat mewujudkan gelombang sokongan yang kuat untuk mereka.
“Mereka mahu meletakkan seberapa banyak ‘nama besar’ di kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini,” kata penganalisis politik Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim yang juga Ketua Penyelidik ILHAM Centre kepada Bernama.
Menurut Mohd Yusri, tidak mustahil juga lebih ramai lagi individu yang sudah memegang jawatan dalam kerajaan negeri seperti barisan Exco akan diangkat menjadi calon kerusi Parlimen termasuk menteri besar sendiri.
“Sebagai contoh, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari diisytiharkan sebagai calon di Parlimen Gombak… ini tidak mustahil berlaku juga di Terengganu, biarlah ada yang mengatakan ia hanya khabar angin atau tuan badan sendiri menafikan dakwaan itu, namun selagi hari penamaan calon belum tiba, kita tidak tahu,” katanya.
Senada dengan pendapat itu, bekas Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Rahman Bakar turut tidak menolak kemungkinan lebih ramai ‘watak negeri’ akan diangkat ke peringkat pusat termasuk menteri besar sendiri.
“Saya lihat kalau ada perubahan di peringkat UMNO, biasanya akan diikuti oleh PAS, kerana mereka nak sesuaikan saingan tu, contohnya bila BN dah letak Ahmad Said, tidak mustahil Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga akan bertanding di Parlimen.
“Mungkin Samsuri sudah tidak diperlukan dalam kepimpinan negeri… saya lihat perubahan ini cukup baik kerana ia dapat membina pengalaman baharu buat kepimpinan di peringkat negeri tidak kira PAS atau UMNO untuk menguasai politik di peringkat pusat,” katanya.
Menurutnya kemunculan watak-watak baharu di peringkat pusat juga memberi isyarat bahawa kepimpinan negeri selepas ini juga mungkin akan ditunjangi oleh tokoh baharu dan jika BN berjaya menguasai Terengganu kelak, tidak semestinya jawatan menteri besar itu diisi oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri semata-mata.
“Calon-calon baharu akan menggantikan orang-orang lama…Saya lihat perubahan landskap ini sangat sihat demi perkembangan politik, ekonomi serta sosial negeri.
“Setiap pembaharuan akan memberi impak yang besar dan ia sangat baik untuk masa depan,” kata Abdul Rahman yang pernah mendapat jolokan sebagai ‘Giant Killer’ apabila dua kali menewaskan Tan Sri Abdul Hadi Awang di kubu kuat Presiden PAS itu pada pilihan raya umum 1986 dan 2004.
Di Terengganu, tujuh nama calon BN untuk kerusi Parlimen telah diumumkan malam tadi, namun bagi kerusi Kuala Nerus ia masih belum diputuskan, manakala bagi calon Perikatan Nasional (PN) senarai penuh akan diumumkan malam esok. – BERNAMA
Leave a Reply