TAN SRI Annuar Musa memaklumkan beliau tidak dijemput ke majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini.
“Setakat ini saya tiada jemputan itu,” katanya lapor FMT.
Gelanggang politik BN di Kelantan yang sebelum ini “suram” bertukar kecoh apabila Annuar dilaporkan tidak tersenarai sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusinya pada PRU15.
Pada PRU14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,626 undi menewaskan calon PAS (Wan Ismail Wan Jusoh) dan Bersatu (Radzi Jidin).
Mengulas senarai nama Ahli Parlimen yang digugurkan tersebar, beliau mengakui namanya antara 12 yang tersenarai.
“Ya, ada 12 nama kena ‘pancung’ termasuk nama saya, itu saya akui dan saya tak nafikan, buat apa kita bersembunyi. Tetapi saya okay saja, tiada masalah kerana mereka (parti) masih berunding, saya tak mahu mendahului parti,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yang juga menteri komunikasi dan multimedia menegaskan pendiriannya kekal tidak melobi atau merayu jika tidak dicalonkan di Parlimen Ketereh pada PRU15.
“Pesan saya, jangan panik, jangan gelabah seolah-olah jadi calon itu adalah segala-galanya sebab kalau kita nak sesuatu tetapi tak dapat…jiwa akan sakit. Kalau parti tak bagi atau presiden tak bagi itu proses yang semua orang kena lalui takkan kita nak jadi Ahli Parlimen selama-lamanya. Kita kena terimalah. “Pendirian saya, saya tidak akan melobi, tidak akan meminta-minta, tidak akan merayu…kita serah bulat-bulat pada parti,’’ katanya.
ANNUAR turut memaklumkan Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin, ditawarkan menggantikan beliau di kerusi itu.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Marzuani yang juga Ketua Puteri UMNO Ketereh.
“Ketua Puteri UMNO itu dipanggil mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan parti sebelum ini tanpa pengetahuan saya. Selepas itu, ketua Puteri Umno itu merujuk tawaran berkenaan kepada saya. Saya tidak tahu sama ada beliau menerimanya atau tidak,” katanya.
Annuar berkata, beliau menasihati Marzuani untuk bertanding jika yakin mampu mengekalkan kerusi itu milik UMNO.
“Saya cuma kata tanya hati sendiri dan kalau berasakan mampu menang, maka bertandinglah, kalau kita rasa menang, kita boleh sumbang satu kerusi untuk parti, itu yang sebaik-baiknya. Jangan bertanding semata-mata hanya untuk bertanding,” katanya.
Leave a Reply