‘Kalau mereka khianat, kita akan serang habis-habisan’

DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan agar tidak ada mana-mana pemimpin Pas melakukan khianat jika tidak terpilih sebagai calon parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden Pas itu menegaskan, parti itu akan bertindak menyerang pemimpin yang berbuat khianat tersebut bagi memastikan tiada pengkhianatan.

Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan jika ada antara mereka itu “khianat” kepada “perjuangan rakyat”.

“Kita beri amaran, peringatan supaya (individu) yang kecewa, yg tidak dicalonkan agar tidak khianat kepada perjuangan rakyat ini.

“Kita beri amanan – mana-mana yang tidak terpilih, kalau mereka khianat, kita akan hentam dia, kita akan serang dia habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pengumuman calon PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam ini.

Dalam ucapan yang sama, Tuan Ibrahim turut mengingatkan orang ramai agar memilih calon yang dikemukakan PN berbanding parti lain.

Kata penyandang kerusi Kubang Kerian itu, rakyat perlu memilih pemimpin yang tidak mengamalkan rasuah, tidak menyeleweng atau menyalah guna kuasa.

“Takkan rakyat nak pilih pemimpn, (bakal) perdana menteri yang kerjanya berulang-alik ke makamah?

“Takkan rakyat nak pilih pemimpin yang terkenal sebagai banduan?

“Takkan rakyat nak pilih pemimpin yang kita tak tau hala tuju ke mana nak dibawanya negara ini,” katanya.

Peringatan Tuan Ibrahim itu dibuat ketika ada beberapa nama berprofil tinggi dalam kalangan pemimpin Pas disebut-sebut tidak lagi tercalon dalam PRU akan datang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *