Bomba lakukan pemeriksaan keselamatan premis cetak kertas undi PRU-15

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran di premis-premis yang bakal mencetak kertas undi untuk kegunaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pengarah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, langkah itu bagi memastikan premis pencetakan kertas undi tersebut selamat dan bebas risiko kebakaran.

Jelas beliau, pemeriksaan keselamatan kebakaran itu juga dijalankan bagi memastikan kertas-kertas undi yang dicetak di simpan di tempat yang selamat dan bebas sebarang risiko.

Setakat ini tambahnya, beberapa premis milik Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang diberi tanggungjawab mencetak kertas undi di Kuala Lumpur telah diperiksa JBPM.

“Apabila diumumkan pilihan raya berlaku, satu obligasi pihak bomba ialah menjalinkan kerjasama dengan pusat percetakan yang dilantik untuk mencetak kertas undi bagi memastikan premis tersebut bebas daripada risiko kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) Peringkat Zon Utara di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohammad Hamdan, pemeriksaan keselamatan kebakaran itu juga akan dijalankan di premis-premis peringkat negeri yang menjadi tempat mencetak kertas undi.

Dalam masa sama ujar beliau, pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi-lokasi yang telah diwartakan sebagai pusat pengundian PRU-15.

“Pemeriksaan juga akan dilakukan di tempat pengiraan undi bagi mengelakkan sebarang risiko yang membahayakan petugas-petugas ketika kiraan undi berlangsung,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Mohammad Hamdan menambah, anggota JBPM juga diletakkan dalam keadaan bersiap sedia yang tinggi dalam tempoh seminggu selepas keputusan PRU-15 diumumkan bagi memastikan keselamatan semua pihak dan bergerak bersama-sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Cuti seramai 12,500 anggota bomba di peringkat operasi juga telah dibekukan sehingga 30 November ini sebagai persediaan menghadapi PRU-15 termasuk persediaan berdepan banjir,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *