BN terus bergolak, UMNO Langkawi pula tolak calon payung terjun

Oleh BADLISHAH MAT

PERTIKAIAN terbuka Barisan Nasional (BN) berkaitan soal calon terus hangat apabila UMNO Bahagian Langkawi pula secara terbuka menolak calon ‘payung terjun’ yang dikatakan akan disenaraikan di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha UMNO Bahagian Langkawi, Nordin Ali berkata, akar umbi parti itu kecewa kerana mesej jelas yang telah diberikan kepada pucuk pimpinan sebelum ini yang tidak mahu calon luar tidak didengari.

Menurutnya, mereka mahu keputusan Mesyuarat UMNO Bahagian Langkawi pada 21 Julai 2021 dan 15 Oktober lalu yang secara sebulat suara menolak calon ‘payung terjun’ dihormati semua pihak.

“Pada 21 Julai tahun lalu, kesemua Perwakilan UMNO bahagian menolak sebarang usaha mensabotaj semangat kerjasama dan solidariti dalam kalangan ahli dan akar umbi. Sebarang usaha bersifat memecah belahkan parti dan bermotif keuntungan peribadi tidak layak diangkat menjadi calon BN.

“Usul ini dibahaskan kali kedua pada 15 Oktober lalu yang menolak calon orang luar yang cuba menangguk di air keruh yang kehadirannya setelah diselidiki membawa muslihat untuk merosakkan saf dan persediaan kita selepas kalah pada PRU-14,” katanya pada sidang akhbar di Wisma UMNO Langkawi, hari ini.

BN dikatakan akan menyenaraikan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj sebagai calon Parlimen Langkawi pada PRU15 sekali gus mengenepikan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Ir. Nawawi Ahmad.

Nawawi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah tewas kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018 dalam pertembungan tiga penjuru apabila sekadar meraih 10,061 undi berbanding bekas Perdana Menteri itu yang mendapat 18,954 undi.

Sementara itu Nordin berkata, UMNO Bahagian Langkawi juga telah memanjangkan usul berkenaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah yang seterusnya dibawa untuk pertimbangan UMNO Pusat terutama Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

“Besar harapan kami agar Presiden dan Ahli MT UMNO dapat mendengar mesej jelas bahawa akar umbi UMNO Langkawi hanya mahukan calon anak tempatan Langkawi untuk memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Katanya, mereka menolak calon berkenaan kerana mahu memastikan keharmonian dan keutuhan UMNO serta BN Langkawi akan terus terpelihara kerana akar umbi berpendapat sebarang bentuk usaha melobi diri untuk dicalonkan tanpa melalui saluran betul amat dikesalkan.

“Tindakan ini memberi gambaran bahawa cubaan beliau lebih kepada misi peribadi dan bersifat mengejar keuntungan dalam politik dan bukannya agenda membantu dan memajukan masyarakat dan kawasan Langkawi ini.

“Justeru, kami Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Langkawi, Ketua-Ketua Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri serta Ketua Pusat Daerah Mengundi BN Langkawi yang berhimpun hari ini dengan tegas menolak Datuk Armishah Siraj sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Langkawi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *