KETUA Wanita Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi enggan mengesah atau menafikan desas-desus beliau akan bertanding kerusi Parlimen Tanjung Malim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Setakat ini, belum ada sebarang berita mengenainya dan pengumuman akan dilakukan esok oleh pucuk pimpinan PN. Sebagai orang parti, saya bersedia berkhidmat di mana-mana sahaja yang diputuskan oleh parti.
“Seperti mana yang kita semua ketahui, dalam pilihan raya ni, tak ada jaminan 100 peratus (menjadi calon) sampai lah pengumuman calon diadakan.
“Walaupun pengumuman calon diadakan, ia hanya 99 peratus yakin, sampai hari penamaan calon, nanti kita tengoklah masuk borang ke mana,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci 137 unit rumah teres dua tingkat kos rendah (Rumah PerakKu I) dan pelancaran rumah teres kos sederhana (Rumah PerakKu II) di Tapak Projek Raia Perdana, di Gopeng, hari ini.
Sejak kebelakangan ini, spekulasi menyebut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah itu akan bertanding di Parlimen Tanjung Malim.
Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak berharap calon wanita diperuntukkan 30 peratus kerusi pada PRU-15.
“Bagi saya, kita sudah buat yang terbaik untuk menyatakan bahawa sudah tiba masanya bukan satu isu yang perlu diperdebatkan.
“Sebenarnya, perlu ada, tak perlu kami minta, sepatutnya 30 peratus penglibatan wanita di dalam politik atau pentadbiran, mestilah dilaksanakan,” tegas Nolee Ashilin lagi.
Leave a Reply