NEGARA perlu diletakkan dalam mod krisis sebagai persediaan untuk menghadapi keadaan ekonomi dunia yang kritikal ketika ini, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, mod krisis itu secara tidak langsung membolehkan penyelesaian masalah secara ‘di luar kotak’ dapat dilakukan.
Jelas beliau, tekanan ekonomi dunia yang secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat dan negara ketika ini sememangnya memerlukan penyelesaian segera.
“Bila kita berada dalam mod krisis, cara pengurusan tidak sama, tidak lagi mengikut prosedur lama, ada beberapa perkara yang kita terpaksa pinda.
“Sebagai contoh, jika rakyat ingin melakukan pinjaman, biasanya ambil masa enam bulan. Tempoh ini sangat lama.
“Bantuan-bantuan secara langsung sepatutnya disegerakan kerana jika tidak, tiada makanan atas meja, rakyat mati,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan UtusanTV.
Untuk rekod, Muhyiddin merupakan Perdana Menteri Ke-8 bermula 1 Mac 2020 hingga 21 Ogos 2021, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu menguruskan negara dalam keadaan paling sukar, dengan krisis kesihatan global pandemik Covid-19 yang menghimpit rakyat dan menyebabkan sektor ekonomi terjejas teruk.
Begitupun, mod krisis yang diaktifkan Muhyiddin berjaya membawa negara keluar dari kemelut tersebut dengan beberapa inisiatif pantas dirangka dan dilaksana.
Antara inisiatif tersebut adalah dengan menubuhkan MPN, melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (MPN) dan memberi bantuan terus kepada rakyat yang terjejas.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, ramai yang tidak sedar bahawa negara ketika ini masih berada dalam situasi kritikal walaupun telah memasuki ke fasa endemik.
Sebagai contoh, jelas beliau, adalah peratusan orang miskin yang semakin meningkat yang mana golongan B40 sudah menjadi golongan B61.
Selain itu, Muhyiddin berkata, isu keselamatan makanan dalam negara juga perlu diberi perhatian yang mana kedudukan Malaysia ketika ini tidak begitu baik.
Jelas beliau, Malaysia sepatutnya tidak menghadapi masalah tentang keselamatan makanan seperti yang berlaku ketika ini.
“Tetapi kita menghadapi masalah sebab pengeluaran makanan dan sebagainya tidak mencukupi.
“Kalau kita lihat, Singapura menduduki ranking pertama dalam Indeks Keselamatan Negara Global. Apa lebih Singapura daripada kita?
“Tidak bermaksud yang sesebuah negara memerlukan tanah (Singapura). Tetapi negara itu boleh menjamin rakyatnya boleh makan jika berlaku krisis,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau merancang untuk menjadikan sektor pendidikan lebih maju dengan pendidikan digital sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jelas beliau, antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah memberi guru dan murid sebuah peranti serta memastikan setiap satu keluarga untuk mempunyai satu komputer.
Leave a Reply