Sanusi umum bantuan RM1,500 kepada penjawat awam Kedah

Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengumumkan bantuan khas kewangan berjumlah RM1,500 kepada penjawat awam negeri itu melibatkan peruntukkan RM8 juta yang akan dibayar hujung tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri amat berterima kasih atas dedikasi dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi kakitangan awam negeri dalam melaksanakan dasar, program dan projek yang dirancang oleh kerajaan demi membangunkan Kedah.

“Kakitangan awam negeri juga terlibat menguruskan bantuan semasa berlakunya bencana di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Kedah pada Mesyuarat Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, di Alor Setar hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri turut mempertimbang kenaikan gaji kepada 146 guru lantikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) selain memberi faedah kenaikan secara one-off berjumlah RM100 seorang seperti yang dinikmati penjawat awam lain.

“Kita menerima keluhan dan luahan guru-guru lantikan kontrak ini yang tidak menerima kenaikan gaji tahunan sebab terikat dengan kontrak. Terdapat sebilangan guru tidak terima kenaikan sejak enam tahun lalu. Kajian kenaikan gaji guru ini akan disiapkan tahun depan,” katanya.

Sementara itu, tempoh zon bebas berniaga yang berakhir hujung tahun ini akan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun depan selain mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk dikembangkan menjadi pusat penjaja kecil dengan kemudahan yang lebih selesa kepada penjaja dan pelanggan.

“Kerajaan negeri akan membantu usahawan seperti ini melalui bantuan menyediakan kiosk di lokasi yang sesuai. Kerajaan negeri mengeluarkan dasar zon bebas berniaga bagi membantu golongan terkesan semasa pandemik Covid-19.

“Kita mendapati pelaksanaan dasar ini membantu golongan penjaja meneruskan kehidupan. Tempoh kebenaran dasar ini akan berakhir 31 Disember tahun ini, prihatin dengan kegusaran mereka, kita bersetuju melanjutkan tempoh kebenaran zon bebas berniaga sehingga 31 Disember 2023,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memilih lokasi yang bersesuaian dan menambah baik kemudahan tapak penjaja kecil berkenaan.

“Ini bagi membolehkan penjaja kita beroperasi secara selamat, terancang dan tidak mengganggu kawasan sekitar. Sejumlah RM1.2 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya.

Kedah memperkenalkan dasar zon bebas niaga itu sejak November 2020 bagi membolehkan peniaga kecil berniaga di jalanan di lokasi dibenarkan oleh PBT kawasan terlibat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *