PH Bersatu PAS PKR MoU

PRU: Amanah tanding 54 kerusi Parlimen

PARTI Amanah Negara (Amanah) akan meletakkan calon untuk bertanding di 54 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 Nov ini.

Jumlah itu meningkat 35 peratus berbanding kerusi Parlimen yang ditandingi Amanah semasa PRU14 pada 2018, iaitu sebanyak 27 kerusi.

Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Pulai manakala Presiden Mohamad Sabu akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja.

Pada PRU14, Mohamad Sabu memenangi kerusi itu dengan majoriti 71,142 undi sementara Salahuddin   menewaskan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga penyandang kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 28,924 undi.

Turut diumumkan sebagai calon ialah dua Naib Presiden iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena dan kerusi Parlimen Parit Buntar. 

Selain itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad diumum sebagai calon bagi kerusi Parlimen Titiwangsa manakala Pengarah Strategi Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Dalam pengumunan di Wisma Amanah Negara dekat sini, empat penyandang digugurkan sebagai calon iaitu Naib Presiden Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Tampin Datuk Dr Hasan Bahrom dan Ahli Parlimen Temerloh Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir.

Bagi calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Sepang ialah Raj Muni Aiman Athirah, Mohd Hasbie Muda (Temerloh), Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) dan Muhammad Faiz Fadzil (Tampin), manakala kerusi Parlimen Shah Alam yang disandang Khalid sejak 2008 akan ditandingi oleh Azli Yusof.

Khalid berkata keempat-empat penyandang sebelum ini tidak dinamakan sebagai calon bagi memberikan peluang kepada muka baharu untuk bertanding pada PRU15.

“Ia tidak menggambarkan seolah-olah mereka tidak berprestasi dengan baik, (tetapi) hanya satu peralihan dan pertukaran yang kita nak galakkan berlaku di Amanah…kita ingin bakat baharu dan muka baharu diberi peluang. 

“Mereka semua telah menunjukkan prestasi yang baik dan memuaskan dan kita anggap ini peluang untuk muka baharu,” katanya. 

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Mohamad berkata watikah pencalonan kesemua calon Amanah yang akan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) akan dipersetujui Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu. 

Katanya, watikah pencalonan itu akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon pada 5 Nov.

Ditanya mengenai reaksi dua ahli Amanah yang keluar parti, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Datuk Husam Musa yang bertanding di bawah tiket PKR, Mohamad berkata tindakan itu dialu-alukan memandangkan mereka masih di bawah PH. 

Nik Omar akan bertanding di bawah tiket PKR di Parlimen Pasir Salak dan Husam menjadi calon PKR bagi kerusi Parlimen Pasir Mas. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *