PH letak calon DAP di Parlimen Jerai

Oleh BADLISHAH MAT

TIMBALAN Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff menjadi calon pertama parti itu yang akan mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Parlimen Jerai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Difahamkan, DAP tidak pernah bertanding di kerusi Parlimen dalam Kedah melainkan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini. Malah kerusi Jerai dikatakan akan diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Namun, pengesahan nama Zulhazmi dibuat oleh Ketua Penerangan PH Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh pada Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah di Laguna Merbok, Sungai Petani yang turut dihadiri Presiden Amanah, Mohamad Sabu, malam tadi.

Parlimen Jerai ketika ini disandang Perikatan Nasional (PN) menerusi Pas, Sabri Azit yang mengalahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada PRU-14.

Sementara itu, PH mempertaruhkan calon wanita yang juga bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Datuk Latifah Md. Yatim di Parlimen Sik.

Pada majlis sama, Dr. Ismail turut mengumumkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar kekal mempertahankan Parlimen Pokok Sena.

Ketua Pemuda Amanah Padang Terap, Muaz Abdullah pula diletakkan untuk bertanding di Parlimen Padang Terap, manakala Parlimen Baling akan ditandingi Ketua Amanah Kawasan itu, Johari Abdullah.

Terdahulu, PKR sudah mengumumkan kesemua calon mereka di seluruh negara dengan sembilan daripadanya tersenarai untuk bertanding di Kedah.

Mereka antaranya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan mempertahankan Parlimen Kulim Bandar Baharu: Dr. Azman Ismail (Kuala Kedah); Nur Azrina Surip (Merbok); M. Karupaiya (Padang Serai).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min pula akan bertanding di Parlimen Alor Setar sementara Mohammed Taufiq Johari (Sungai Petani) dan Datuk Zulkifly Mohamad (Pendang) antara muka baharu ditampilkan selain Dr. Mohamed Fadzil Mohd. Ali (Jerlun) dan Aizuddin Ariffin (Kubang Pasu).

Dalam pada itu, kerusi Parlimen Langkawi yang sudah disahkan akan dipertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada PRU15 belum dinamakan sebarang calon oleh PH termasuk sama ada kuota daripada komponen mana.

Mahfuz yang ditemui berkata, pihaknya berpuas hati dengan senarai yang diumumkan termasuk pembabitan calon muda yang pertama kali bertanding.

“Satu sahaja kerusi tidak diumumkan lagi iaitu calon PH di Parlimen Langkawi, saya jangka kita akan mengumumkannya dalam tempoh sehari dua lagi.

“Kita percaya kehadiran ramai calon muka baharu dan anak muda serta bekas pegawai kanan kerajaan, mampu memberi keyakinan pengundi kepada PH,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *