POLIS menafikan dakwaan kononnya banduan yang diklasifikasikan sebagai berbahaya dari Filipina masuk ke daerah Semporna seperti ditularkan di WhatsApp, hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan lanjut berhubung maklumat berkenaan untuk mengenal pasti kesahihannya.
“Sebagai langkah keselamatan, pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) juga turut meningkatkan pengawasan sempadan supaya tidak dibolosi.
“Setakat ini, tidak ada maklumat kemasukan (banduan) ke Sabah,” katanya memetika laporan Harian Metro, hari ini.
Berdasarkan maklumat yang tular, banduan berbahaya dikenali sebagai Alnazar Jalilul Abdain berusia 30-an yang berasal dari Pulau Tawi-Tawi, Filipina didakwa memasuki negeri ini.
Dia dipenjara atas kesalahan membunuh dan dikatakan melarikan diri dari Penjara Tawi-Tawi pada 26 September lalu.
Mengikut maklumat tular itu, Alnazar dikesan bersama pengedar dadah rentas sempadan dikenali sebagai Haibin Mubin @ Apo Kuhambo @ Haibin Pantasan Hailil @ Sunding yang tersenarai sebagai individu dikehendaki ESSCOM.
Kenyataan tular itu turut mendakwa berlaku kejadian tembak menembak antara pasukan keselamatan Filipina dengan Haibin Mubin sebelum suspek ditembak mati.
Alnazar yang dikatakan mendapat maklumat kematian Haibin didakwa bertindak melarikan diri dengan menaiki bot menuju ke perairan Semporna.
Leave a Reply