Rakyat sukar terima calon Bebas-Zawawi

SETIAUSAHA Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berpendapat, rakyat sukar untuk menerima mana-mana individu yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelasnya, ini kerana calon Bebas tidak dilihat akan ke mana-mana tanpa sokongan jentera sebagaimana diperoleh mereka yang bertanding atas tiket parti.

“Sebagai ahli Parlimen saya tahu calon Bebas tidak mampu bergerak sebagaimana mereka yang bertanding atas parti.

“Bagi saya ia mustahil tidak ada jentera, tiada apa-apa jadi sukar untuk calon Bebas,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang didakwa akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRU15 ini.

Sebelum itu, Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II merasmikan program promosi makan buah nanas segar dan agihan ayam nanas Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan di Pasir Puteh, hari ini.

Beliau yang juga penyandang Parlimen Pasir Puteh berkata, Pas tidak tercabar dengan tindakan Mohd Khairuddin yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

Menurutnya, Kuala Nerus adalah kerusi Pas dan yakin kemenangan akan menyebelahi parti tersebut.

Ujar Nik Muhammad Zawawi, tindakan tersebut juga tidak memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada Pas

“Malah kami lihat sokongan kepada Pas lebih dari dulu. Bila kita bentuk kerajaan campuran melibatkan Pas, UMNO dan Bersatu,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *