IMPIAN seorang lelaki mahu memiliki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dengan harga murah musnah apabila diperdaya satu sindiket menawarkan kereta mewah dengan harga RM60,000 dalam Facebook, November lalu.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 50-an, berkata, semuanya bermula apabila dia tertarik dengan iklan menawarkan Toyota Alphard tersebut menerusi satu iklan ditawarkan sindinket terbabit.
“Sindiket tersebut menawarkan pembelian kereta import terpakai atau ‘recond’ dari Jepun.
“Saya tertarik dengan tawaran iklan itu dan terus menghubungi nombor tertera sebelum dibalas seorang lelaki.
“Mulanya saya membayar RM2,600 dan selepas selesai membayar RM60,000 kereta masih belum dapat dengan pelbagai alasan diberikan.
“Apabila mahu membatalkan pembelian mereka tidak benarkan kerana kereta didakwa sudah ada di sini dan perlu membayar lagi untuk urusan lain, sehingga saya sudah membuat lebih 30 transaksi membabitkan RM205,000 sehingga Februari lalu,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Setapak di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.
Jelasnya, itu sebenarnya merupakan jerat dipasang sindiket tersebut menerusi iklan dalam media sosial dan apabila mangsa terpedaya, mereka diminta membayar sejumlah wang atas alasan untuk pembayaran membawa masuk kereta termasuk cukai.
Katanya, Semua urusan jual beli kenderaan itu dilakukan dalam talian dan mangsa tidak pernah bertemu dengan individu berkenaan atas alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahmad berkerja di sektor kewangan swasta di Klang, Selangor berkata, semua pembayaran itu dibuat ke akaun berbeza dan mengakui dia tidak berasa sangsi dengan syarikat berkenaan.
“Saya mula sedar saya sudah terpedaya sebelum membuat aduan kepada Pertubuhan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) dan laporan polis di Shah Alam, setakat ini belum ada tindakan susulan dibuat.
“Paling membuatkan saya sedih kerana wang itu adalah pengeluaran Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan sehingga kini tiada ahli keluarga tahu mengenainya,” katanya sambil memberitahu sindiket itu masih menganggunya sehingga kini untuk urusan pengeluaran kereta.
Sementara itu, Ketua Jabatan Aduan Amal Sejagat, Syed Kamarul Al Masyhur berkata, sindiket penipuan dilihat semakin berleluasa di Facebook terutama dalam tempoh PKP.
Menurutnya, secara purata, pihaknya menerima kira-kira 50 aduan sebulan dengan sekurang-kurangnya satu aduan sehari dan kebanyakan aduan yang diterima bermula di media sosial itu.
“Kita sangat berharap pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat memantau aktiviti ini di Facebook supaya mereka tidak menyalahguna platform itu selain polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan SKMM lebih tegas dalam isu ini.
“Kempen kesedaran mengenai penipuan dalam talian dilihat seperti tidak sampai menyeluruh kepada masyarakat. Mungkin orang ramai kurang peka atau penyaluran maklumat tidak sampai ke akar umbi,” katanya sambil berkata pihaknya juga bersedia membantu kempen itu.
Leave a Reply