SEPASANG suami isteri dan bayi berusia setahun maut dalam kemalangan di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) Simpang Ampat di Alor Gajah, pukul 11 pagi tadi.
Nahas itu mengakibatkan pasangan masing-masing berusia 28 tahun dan bayi mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi Pengawai Kanan Bomba (PBK) ll KUP, Ezanee Hamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.02 pagi sebelum tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BBP Ayer Keroh dan BBP Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Jazz dan lori dua tan jenis Isuzu.
“Mangsa tiga beranak menaiki kereta terbabit dan kedua-dua kenderaan dipercayai dari arah sama iaitu selatan.
“Operasi terkawal pada pukul 12.31 tengah hari sebelum operasi menyelamat tamat pukul 1.09 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.
Kemalangan maut itu turut menyebabkan laluan trafik sesak lebih satu kilometer.
Leave a Reply