JABATAN Agama Islam Perak (JAIP) menerusi khutbah Jumaat hari ini menyeru umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurut teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Pilihan Raya: Tanggungjawab ummah kepada negara’ itu, mimbar memperingatkan bahawa tanggungjawab memilih ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kini diserahkan kepada rakyat.
Jelas teks itu, wakil-wakil yang dipilih dirujuk sebagai wakil rakyat, iaitu orang-orang yang dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri.
“Selepas berakhirnya pilihan raya, kumpulan yang mendapat sokongan majoriti, akan diberikan peluang untuk menyembahkan cadangan kepada Raja Pemerintah, hasrat mereka untuk mencalonkan seorang wakil menjadi ketua kerajaan, selanjutnya membentuk kerajaan baik di peringkat Persekutuan begitu juga di peringkat negeri.
“Ketua kerajaan yang diperkenankan lantikan dan kerajaan yang diperkenankan pembentukannya akan mengambil tanggungjawab mengurus tadbir negara atau pun negeri, untuk dibangunkan dan dimajukan, dengan harapan dapat melimpahkan nikmat kebahagiaan, kesejahteraan dan kesentosaan kepada rakyat jelata,” ujar mimbar, lapor Utusan TV.
Mengulas lanjut, mimbar berkata, budaya politik yang sihat, amat penting untuk menjamin pilihan raya dapat berlangsung dalam suasana aman, tenteram, terkawal dan selamat.
Kata mimbar, tujuan diadakan pilihan raya ialah untuk membolehkan rakyat memilih dan menyerahkan amanah kepada insan pilihan mereka.
Selain itu, calon-calon dibenarkan berkempen untuk memperkenalkan diri, sementara parti-parti politik akan memperkenalkan kepada rakyat manifesto yang menghuraikan wawasan serta cadangan yang ditawarkan, jika diberikan peluang memerintah.
“Lebih dua puluh satu juta rakyat layak dan terdaftar sebagai pengundi dalam Pilihan Raya ke-15.
“Lebih 10.7 juta pengundi berusia bawah 39 tahun, merupakan hampir 51 peratus pengundi; daripada angka tersebut, hampir 1.5 juta orang, menghampiri 7 peratus pengundi berada dalam usia 18 ke-20 tahun.
“Hanya 18 peratus pengundi yang berada dalam kumpulan usia atas 60 tahun,” kata mimbar.
Mengulas lanjut, mimbar turut menyeru agar semua orang mengundi kerana ia satu tanggungjawab fardu kifayah dan satu tanggungjawab kenegaraan yang sangat dituntut agar rakyat melakukannya.
Kata mimbar, Keengganan untuk memenuhi tanggungjawab mengundi bererti melakukan satu pembaziran kerana tidak menghargai kos yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan yang baharu.
Tambahnya, para majikan turut mempunyai tanggungjawab kenegaraan, memberikan masa yang cukup, membolehkan para pekerja mereka berpeluang untuk keluar mengundi.
Jelas mimbar, anak muda yang pertama kali mempunyai kuasa mengundi sewajarnya diberikan panduan, bimbingan dan kesedaran agar menyempurnakan tanggungjawab mengundi dan mengundi dengan bertanggungjawab.
Sementara itu, mimbar turut memperingatkan berpesan kepada calon, juga kepada penyokong dan petugas parti agar mematuhi atau menghormati perkara-perkara tertentu dalam PRU-15.
Antaranya, tidak mensensasikan isu-isu agama dan kaum untuk meraih laba politik hingga menyemaikan rasa kebencian dan akhirnya menyalakan api permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
Selain itu, mereka yang terlibat juga diingatkan tidak mengamalkan budaya menyogok rasuah untuk mendapat sokongan pengundi.
Kata mimbar, ia kerana calon yang menggunakan pengaruh rasuah atau memberi rasuah untuk mendapatkan sokongan akan mengamalkan perangai menerima rasuah apabila diserahkan amanah dan kuasa.
Leave a Reply