Oleh BADLISHAH MAT
SEORANG pelajar tingkatan tiga maut setelah motosikal dinaikinya bertembung sebuah lori dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 petang di Kampung Tanjung Kepala Bukit, Baling, semalam.
Mangsa, Muhammad Ajwad Zuraimi, 15, yang tinggal di Kampung Bukit, Kuala Kuang, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, mangsa yang didapati tidak memakai topi kaledar meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS-X dari arah Kampung Sadek menghala ke Kampung Pisang.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, sebuah lori jenis Mitsubishi Fusi datang dari arah bertentangan dan memasuki laluan motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, mangsa telah merempuh bahagian hadapan sebelah kanan lori tersebut ketika melalui jalan yang berselekoh.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply