Kabin kontena di kediaman rasmi MB Kedah musnah, dipercayai akibat perbuatan khianat

Oleh RIZQI ZABIDI

POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap kemusnahan sebuah kabin kontena di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, yang musnah dipercayai akibat perbuatan khianat menggunakan letupan pada pertengahan bulan ini.

Difahamkan kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.30 petang, 16 Oktober lalu iaitu sehari sebelum tembok pagar kediaman rasmi tersebut disimbah cat oleh individu tidak dikenali pada 17 Oktober 2022.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, pihaknya menerima laporan mengenai kemusnahan kabin tersebut pada 18 Oktober, kira-kira pukul 3.49 petang.

“Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan dan menemukan beberapa sampel serta bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan di kabin kontena tersebut yang dijadikan sebagai stor.

“Justeru kami mengesyaki kejadian itu mempunyai unsur jenayah khianat menggunakan bahan letupan. Kesemua sampel ditemui kemudiannya telah dihantar ke makmal bagi tujuan analisis lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, akhbar melaporkan mengenai kejadian simbahan cat berwarna merah dan biru pada tembok kediaman rasmi tersebut yang terletak di Jalan Anak Bukit, Pantai Johor.

Difahamkan ketika kejadian simbahan cat itu berlaku, Muhammad Sanusi berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan negeri.

Sebelum ini terdapat pengesahan daripada pihak berkuasa bahawa kediaman tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

Mengulas lanjut Wan Hassan berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah.

“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dipenjara hingga 20 tahun dan dikenakan denda,” katanya.

Tambahnya, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut secara terperinci bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kami menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya tampil memberi maklumat bagi membantu pihak polis menyelesaikan kes tersebut.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, ASP Che Intan Subri di talian 013-9329614 atau 04-7321222.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *