DUA beranak maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabas dalam perjalanan ke sekolah dalam kejadian di Jalan Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun dalam perjalanan menghantar anak lelakinya, 15, ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang dua beranak itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke laluan bertentangan.
Menurut beliau, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang memandu dari arah Penanti ke Kepala Batas cuba mengelak bagaimanapun terlanggar motosikal mangsa.
“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) dan bedah siasat akan dijalankan selepas menerima keputusan ujian calitan Covid-19.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Leave a Reply